Cari Blog Ini

Rabu, 4 Julai 2012

GAGAL di Menara Gading!

Selaku penasihat akademik, saya melihat agak ramai pelajar yang gagal di dalam pengajian mereka. Melalui pengamatan saya, rata-rata mereka ini bukanlah tidak pandai malah ada diantara mereka adalah merupakan pelajar yang sangat cemerlang di peringkat SPM. Menyedari hakikat ini saya cuba mencari apakah sebenarnya punca-punca yang menyebabkan mereka ini gagal untuk dikongsi dan mungkin dapat dijadikan pedoman bersama pada paparan entri bulan ini.

Berdasarkan kepada beberapa kajian yang saya temui sama ada di Malaysia mahupun di Barat terdapat beberapa faktor yang telah dibincangkan tentang kegagalan pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) iaitu yang tidak dapat meneruskan pengajian samada diberhentikan ataupun berhenti. Antara faktor yang paling kerap diperkatakan dan dibincangkan di dalam semua kajian-kajian yang saya temui ini ialah berkenaan masalah penyesuaian diri. Faktor yang dimaksudkan ini adalah merujuk kepada kelemahan diri seorang pelajar itu untuk menyesuaikan diri dan menangani pelbagai masalah yang berkaitan dengannya di dalam tempoh pengajian. Ini termasuklah penyesuaian dalam kelas dan tugasan (akademik), hubungan dengan keluarga, pensyarah, hubungan pelajar yang kurang mesra (sosial), peribadi-emosi dan komitmen matlamat. Walaubangaimanapun terdapat juga kajian lain yang menunjukan faktor kegagalan pelajar bukan sahaja merangkumi aspek ini tetapi juga melibatkan masalah kewangan dan kesihatan.


Secara peribadi saya percaya bahawa anda semua adalah individu yang penuh dengan keinginan untuk mencari ilmu dan mengubah kehidupan. Melihat faktor penyesuaian diri ini saya amat berharap agar anda semua dapat menyesuaikan diri di Universiti ini. Pekara ini jelas menjadi aspek penting untuk kamu berjaya jika itu yang dimahukan. Sesungguhnya anda harus faham sistem pengajian di peringkat universiti ini adalah berbeza daripada peringkat menengah yakni sekolah, yang mana anda harus hadapinya dengan menambahkan usaha yang bukan pada kadar biasa. Ini kerana pengajian di peringkat universiti adalah lebih mencabar yang mana menuntut kamu untuk memenuhi bukan sahaja tuntutan bidang pengkhususan yang tidak dijangka, tetapi juga merangkumi pengurusan masa dan diri serta keupayaan menguruskan kewangan dan mengawal emosi yang baik. Saya percaya bahawa setiap diantara anda mempunyai keunikan yang berbeza-beza, walaupun anda berada dalam persekitaran yang sama, mengikuti kursus atau bidang pengajian yang sama dan suasana pembelajaran yang sama, terdapat beberapa aspek lain yang pastinya membezakan anda semua. Gunakanlah keunikan ini untuk kamu berjaya di MENARA GADING.

Akhir kalam dari saya untuk entri kali ini, ialah satu ingatan kepada anda semua bahawa cabaran di medan menara gading adalah lebih besar. Keupayaan anda akan diuji dan hanya yang cekal, tabah dan berani menempuh halangan ini akan layak bergelar MAHASISWA/MAHASISWI. Kepada yang berjaya sekalung tahniah saya ucapankan dan kepada yang tidak berjaya, ingat ini mungkin masanya untuk kamu berubah. InsyAllah rezeki kamu pasti ada. Gagal bukan bererti selamanya jika kamu sentiasa berusaha dan berdoa. Selamat Berkonvo!

2 ulasan:

  1. memang besar cabarannya sir.. huhu..

    thnx sir sbb banyak bantu saya.. dan alhamdulillah dapat A untuk ETR :D

    BalasPadam
  2. sama2, saya hanya pendorong.... kamu yang melaksanakan dengan baik walaupun berperit jerih....apa yang penting ialah kamu dapat menggunakan ilmu yang diperolehi dengan baik. Tahniah kerana mengharungi cabaran yang pada peringkat diploma. Saya doakan agar kamu lebih cemerlang pada masa hadapan.

    BalasPadam

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.