Cari Blog Ini

Selasa, 8 September 2020

Pembelajaran secara Maya: Persediaan diri yang kamu perlukan?


Selaku pendidik, entri sempena "Movement Control 2020" saya cuba untuk bicarakan secara santai mengenai pembelajaran secara "Remote Learning" atau Online Distance Learning (ODL) ataupun pembelajaran secara maya yang telah menjadi isu hangat dibicarakan dan omongan para pendidik pada masa ini. Saya percaya ramai diantara kita tahu bahawa isu COVID19 secara langsung telah mendesak ramai dikalangan pendidik supaya berubah dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran secara maya.  Ini jelas dapat kita perhatikan bahawa rata-rata pendidik sama ada di peringkat sekolah mahupun universiti pada masa kini secara langsung atau tidak langsung dan sedaya upaya telah cuba menjadikan cara pembelajaran atas talian sebagai pengantara alternatif untuk menghadapi waktu sukar ini agar pelajar-pelajar mereka tidak ketinggalan dan sentiasa belajar dari rumah. Walaupun perlaksanaan ini mungkin agak sukar untuk diadaptasikan kepada sesetengah pendidik dan pelajar serta pengurusan, kita perlu akui, suka mahupun tidak, bersedia atau tidak kita sedang dan harus bersedia untuk menghadapinya dalam merentasi kemelut yang tidak dapat dijangka ini. Hemat saya, suka atau tidak, teknologi maya/atas talian amat diperlukan dalam keadaan semasa ini dan ianya adalah alternatif terbaik walaupun ianya pasti akan mengubah kaedah komunikasi pembelajaran antara kita semua. Dalam menghadapi kemelut ini, secara peribadi saya melihat ini adalah merupakan satu tanggungjawab bersama yang perlu digalas oleh kita (yakni saya dan kamu) serta pengurusan universiti untuk merangka satu sistem baru berpaksikan kepada pendidikan abad ke 21. Saya berpendapat jika kita bermatlamat dan berkehendak, saya yakin evolusi pendidikan secara maya/atas talian ini secara amnya pasti dapat dilaksanakan dengan baik dan berjaya mencapai objektif pembelajarannya.


Terdapat pelbagai cadangan dan usul telah diutarakan dipelbagai peringkat setakat ini dan saya percaya segala keputusan yang telah dibuat pastinya daripada cendiakawan-cediakawan yang hebat. Apapun usul perubahannya, saya percaya dasar "belajar" hendaklah kita utamakan. Saya sedar sebagai generasi yang terkesan pastinya kamu akan membandingkan corak pembelajaran yang berbeza dalam menguasai ilmu pengetahuan seperti apa yang biasa telah dihidangkan kepada kamu sebelum ini. Melalui sesuatu yang baru pastinya bukan mudah untuk kamu santapkan kerana pembelajaran secara maya ini amat memerlukan displin diri yang tinggi, motivasi berterusan, integriti dan ditambah pula dengan kekurangan fasiliti dan alatan. Pekara ini juga saya akui kerana kamu sebelum ini telah diberi penekanan belajar yang berbeza dan pastinya akan ada sebilangan dari kamu akan sukar untuk menerima pembelajaran dan pengajaran secara atas talian ini dengan baik. Walau bagaimanapun saya percaya jika ada usaha bersama antara saya dan 'self directed learning' yang baik dari kamu, kita pasti mampu merealisasikan pembelajaran yang berkesan secara atas talian ini dan mengharungi kemelut ini dengan jayanya.

Secara peribadi juga, saya melihat evolusi pembelajaran yang bakal kita lalui ini sebenarnya adalah mantap dan berkesan kerana kamu kini telah berada di dalam era sumber maklumat yang sangat luar biasa berbanding zaman sewaktu universiti saya. Yang pasti, jika dahulu saya terjumpa secebis maklumat yang tidak jelas, saya terpaksa menunggu untuk pelajaran berikutnya untuk meminta penjelasan daripada profesor atau pensyarah saya, atau jika saya mempunyai rakan dan nombor telefon, saya akan menelefon dengan berharap rakan sekelas saya akan menjadi sumber untuk saya mendapatkan sesuatu penerangan atau contoh. Berbanding dengan kamu pada hari, ternyata corak pembelajaran ini pastinya berbeza dan dari sudut positifnya, saya berpendapat ia sebenarnya akan lebih memudahkan jika kamu seorang yang pro-aktif dan "self learning centered", berdisplin dan sentiasa mahu belajar. Percayalah, bahawa kamu kini boleh belajar secara literal di mana sahaja, bila-bila masa dan ketahuilah juga bahawa pembelajaran pada masa kini boleh dilakukan serta-merta melalui pelbagai aplikasi dan terdapat jutaan sesawang yang pastinya akan membantu pembelajaran kamu dengan lebih baik. Segalanya telah terhidang di hadapan kamu sebenarnya pada masa kini, cuma untuk menguasai pembelajaran secara maya ini kamu hendaklah membina karakter kamu secara telus, berdisplin, pro-aktif serta sentiasa self-directed learning dalam melengkapi pengajaran dan pembelajaran. Saya akui mungkin terdapat diantara kamu akan menghadapi masalah dalam mengatur gerak kerja belajar pada peringkat awal ini, ditambah dengan sedikit kekangan internet mahupun alatan, dan saya percaya ianya hanyalah bersifat sementara dan pastinya ia akan berubah dari masa ke semasa. Sungguhpun begitu, kamu perlulah sedar disini bahawa pembelajaran secara maya juga mempunyai detik cabarannya. Ini kerana kamu akan belajar seorang diri di rumah sebenarnya dan ini akan membuatkan kamu menjadi terasing, cepat bosan, suka berada di set maya kamu sendiri dan tidak fokus terhadap pembelajaran, dan saya juga percaya ramai diantara kamu nanti akan bersikap acuh tidak acuh dan akan menjadi pasif terhadap sebarang gerak kerja pembelajaran secara maya yang telah diaturkan. Ini kerana lazimnya kehidupan kamu di alam kampus adalah menghadiri kuliah di dewan kuliah, menghadiri kelas tutorial, dibekal modul pembelajaran, mencari buku di perpustakaan dan bertemu pensyarah. Apapun yang berlaku pada saat ini pasti ada hikmahnya, yang penting pada ketika ini dan apa yang amat saya harapkan dari kamu ialah perubahan sikap dan membina karakter pembelajaran secara maya dengan cepat untuk sama-sama kita melaluinya.



Akhir kalam, saya bukanlah pemikir yang hebat tetapi percayalah inilah caranya kamu akan bekerja pada masa hadapan. Jika ramalan saya ini tepat maka saya pasti kamu sudah cukup untuk bersedia dan  menerima pekerjaan seperti ini pada masa itu.  Hemat saya, semua ini adalah cabaran buat kita, janganlah kita jadikan ianya satu penghalang sekiranya ilmu itu mahu kita perolehi. Saya pasti selagi kita boleh berhubung dan saling melengkapi untuk mendapatkan ilmu, kita pasti boleh belajar dan ingatlah displin yang tinggi, motivasi diri, integriti dan cara belajar yang tidak kebergantungan ialah elemen penting pada saat ini dan amat diperlukan kamu. Kemelut yang sedang kita hadapi ini adalah tanggungjawab kita bersama dan harus kita laluinya agar kelestarian agenda pendidikan untuk Agama, Bangsa dan Negara tercapai.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.