Cari Blog Ini

Rabu, 16 April 2014

Antara kawan dan keluarga: Pengaruh Asrama



Apa yang ingin saya kongsikan untuk entri bulan ini adalah mengenai satu masalah atau saya definasikan sebagai satu penyakit yang mungkin perlu kita semua beri perhatian agar ianya tidak berlangsungan dan memudaratkan. Mungkin secara tidak langsung penyakit ini sedikit sebanyak telah menular dan menjadi sebahagian dari diri kita, Wallahualam. Sekadar perkongsian ringan, penyakit ini saya klasifikasikan sebagai salah satu penyakit cabang yang mungkin berkaitan dengan "penyakit komunikasi". Secara amnya apa yang dapat saya ringkaskan mengenai penyakit ini ialah ianya berkenaan dengan kegagalan sikap seseorang individu untuk bermesra, berkomunikasi dan bergaul dengan/sesama ahli keluarganya. Mungkin ramai yang tidak perasan dan amati akan penyakit ini tetapi secara peribadi saya melihat dan mengamatinya melalui beberapa rakan dan juga perilaku ahli dan sanak keluarga. Apa yang mungkin dapat saya gambarkan tentang penyakit ini adalah ianya berkenaan terhadap kencenderungan pergaulan  individu yang lebih mengutamakan hubungan terhadap rakan-rakan/ (kawan-kawan) berbanding hubungan terhadap keluarga (samada ibu-bapa atau adik beradik). Dalam erti lain ianya adalah satu keadaan dimana seseorang individu itu lebih suka mengutamakan kawan-kawannya  pada satu posisi yang saya kira melampau sehingga memberi kesan yang negatif terhadap hubungan dengan keluarga dan orang disekelilingnya.

Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa hubungan sesama keluarga adalah merupakan faktor yang amat patut dititik beratkan, sama ada hubungan terhadap ibu-bapa dan adik beradik. Pendapat peribadi saya, keluarga adalah merupakan tempat terbaik untuk kita mengadu damba dan keluargalah yang pastinya akan bersama kita dikala susah dan senang. Tanpa keluarga pastinya kita tidak mungkin dapat melestarikan kehidupan ini dengan sempurna dan sebaik mungkin. Tetapi malangnya dalam konteks hari ini, pekara ini kurang diberi perhatian malah ianya lebih memihak kepada hubungan kawan-kawan. Mungkin terdapat pelbagai faktor yang dapat dikaitkan dengan perkara ini, tetapi pada hemat, pengamatan dan perkiraan kasar saya, ini sebenarnya terjadi adalah berpunca daripada tinggal di asrama terlalu awal pada usia yang agak muda. Mungkin pekara ini sememangnya dapat disangkal, tetapi rata-rata saya melihat perihal rakan-rakan dan saudara-saudara yang saya kenali dan tinggal di asrama pada usia muda mempunyai penyakit ini. Walaupun tidak dapat dibuktikan secara sahihnya dengan bukti emprikal, saya amati pekara ini mungkin berlaku adalah kerana mereka lebih banyak masa bersama rakan-rakan yang tinggal di asrama bersama. Logiknya, rakan-rakanlah tempat terbaik bagi mereka menyelesaikan masalah, mengadu dan sebagainya. Oleh yang demikian maka secara tidak langsung rantaian ini boleh menyebabkan seseorang individu itu lebih janggal dan tidak selesa bersama keluarganya (yakni lebih mudah untuk bersama dan bergaul bersama rakan rakan berbanding keluarga). Ini jelas dapat diperhatikan, sekiranya kita pernah tinggal di asrama dan pastinya sebahagian dari kita pernah melihat dan mengalami pekara ini. Pastinya jika diteliti, tanda-tanda penyakit ini telah menular kepada diri seseorang itu adalah apabila satu perasaan untuk tidak bergaul dan hanya lebih mementingkan diri sendiri contohnya seperti mengemas rumah-lebih cenderung untuk mengemas barang-barang sendiri ataupun menidakan kepentingan ahli keluarga yang lain-perasaan mereka lebih penting berbanding adik beradik yang lain (yang mana konsepnya adalah kau adalah kau aku adalah aku). Mungkin tiada bukti kajian yang boleh saya ketengahkan disini tetapi secara logik akal pelajar-pelajar yang baru melangkah ke sekolah menengah dan tinggal diasrama, pastinya tidak dapat membuat keputusan dengan tepat. Sesungguhnya, mereka mudah berubah sikap kerana itulah lumrah bagi seorang kanak-kanak yang mula berubah menjadi awal dewasa. Dalam usia 13 hingga 15 tahun, anak-anak ini belum dapat mengenal dirinya sendiri secara sepenuhnya. Mereka masih tercari-cari identiti diri dan dalam proses membina jati diri. Apabila terlalu lama berjauhan dari keluarga maka pastinya penyakit ini lebih mudah menular dan menjadi sebagaian daripada diri individu itu. Sehingga pada satu peringkat, mereka ini sanggup untuk melupakan dan tidak memahami kepentingan keluarga terhadap diri sendiri. Anggapan mereka keluarga tidak dapat menyelesaikan masalah ataupun keluarga hanya sekadar hinggapan untuk kepentingan diri sendiri. (sama ada ibu-bapa mahupun adik beradik)

Untuk pengetahuan anda semua, saya bukanlah menafikan pelbagai kebaikan tinggal di asrama. Adalah tidak dinafikan asrama adalah merupakan satu tempat  untuk setiap individu berdikari. Walaupun saya tidak pernah ke sekolah asrama, tapi melalui pemerhatian, penceritaan rakan-rakan, saya dapati pelajar yang bersekolah di asrama lebih mudah untuk berdikari. Selain itu, dikatakan juga pembelajaran mereka lebih tersusun dan jadual waktu pembelajaran juga lebih seimbang. Dengan kegiatan riadah yang kerap dilakukan di sekolah asrama, pelajar-pelajar juga dikatakan lebih  cerdas minda dan cergas fizikal malah juga lebih berdisiplin. Melalui jadual waktu yang telah ditetapkan pelajar-pelajar akan lebih menghargai waktu dan mampu mendisiplinkan diri mereka mengikut tempoh ditetapkan. selain itu, pelajar yang tinggal diasrama juga dikatakan kurang mengalami kejutan budaya ketika melangkah ke alam universiti dan lebih cermerlang. Melalui pengalaman di sekolah asrama, kebanyakan dari mereka tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran di IPT. 

Apapun pandangan saya ini, ianya adalah sekadar perkongsian ringan yang mana mungkin dapat dijadikan sedikit renungan kepada kita semua. Satu ingatan kepada diri sendiri  dan anda semua agar menjadi insan yang lebih baik dan menjaga hubungan sesama keluarga anda. Walaupun sekiranya kita ada mempunyai penyakit ini, cuba-cubakanlah redakan sedikit demi sedikit. Ingatlah kasih ibu membawa ke syurga dan kasih bapa sepanjang masa dan kasih adik beradik tiada tolok bandingnya. Alangkah beruntungnya kita jika sanak saudara berbuat baik dan menunjukan sifat setia dan amanah. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.