Cari Blog Ini

Isnin, 7 Januari 2013

Tahun 2013: melakar sejarah baru




Walaupun sudah tujuh hari kita telah memasuki tahun baru, saya masih rasakan belum terlewat untuk saya mengucapkan selamat tahun baru kepada anda semua. Moga tahun baru 2013 ini membawa jutaan rahmat kepada anda dalam lakaran sejarah anda sendiri. Sememangnya di awal tahun masing-masing akan membuat niat dan memasang azam untuk  melakar sejarah diri sendiri. Persoalannya adakah azam dan niat yang lepas telah berjaya seperti direncanakan? hanya kamu sahaja yang tahu prestasinya samada ianya menjadi kenyataan atau tidak. Apapun yang telah anda rencanakan sudah pasti ianya berlalu dan pergi meninggalkan kamu. Kini, di tahun 2013, saya berdoa untuk kamu semua  agar dapat mengecapi perencanaan baru kamu dengan sebaik mungkin dan mengukir kenangan terindah yang bakal ditempuhi.

Nasihat saya, jika tahun 2012 yang lalu penuh dengan kenangan pahit, saya berharap agar ianya dapat dilupakan. Saya akui memang sukar untuk melupakan kenangan pahit, namun gunakanlah kedatangan tahun 2013 ini untuk anda pasrah dan mengubahnya demi mencari kehidupan yang lebih baik. Sebagai pelajar saya juga berharap agar kamu dapat teguhkan azam dan kuatkanlah iman. Melalui pandangan peribadi saya,  rata-rata bila direnung kehidupan remaja, saya sedari ramai di kalangan kamu hidup seolah-olah tanpa matlamat dan arah tuju. Malangnya lagi, apabila saya sedari ada sebahagian diantara kamu tidak tahu dengan apa yang dicari. Dari kaca mata saya, saya berfikiran, apabila matlamat dan keazaman kita tidak jelas, kecenderungan untuk menyimpang pastinya mudah memujuk kearahnya. Lantaran itu sempena tahun ini jelaskanlah matlamat kamu atau sasaran masa yang telah diberikan kepada kamu dan dapat merealisasikan pengajian kamu sebaik mungkin. 

Bagi anda yang sudah tamat pengajian dan sudah bekerja, nasihat saya pada tahun baru ini kepada kamu ialah janganlah lupa untuk berbakti kepada kedua ibu-bapa. Ingatlah kamu, setiap anak wajib berbakti dan mentaati ibu bapa serta membahagiakan kehidupan mereka dalam menepuhi hari-hari tua. Banyak pekara yang boleh dilakukan untuk berbakti kepada mereka selain dalam bentuk material dan wang ringgit. Hemat saya, selain material dan wang ringgit, hubungan kasih sayang juga perkara penting yang perlu dititik beratkan oleh kamu dan ianya juga adalah satu bakti yang mungkin dapat diberikan. Misalnya bercakap dengan lebih lemah lembut, meluangkan lebih banyak masa bersama mereka, bertanya khabar atau lebih kerap menelefon, merancang percutian, sambutan hari lahir dan berbagai-bagai lagi cara. Kadang kala bukanlah wang ringgit yang diharapakan oleh mereka tetapi kasih sayang dari kamu adalah pekara yang amat diharapkan. Jesteru, sempena tahun baru ini, nasihat saya berikanlah kasih sayang yang terbaik buat ibu-bapa kamu. Jika sebelum ini mungkin kita semua terlepas pandang, gunakanlah kesempatan yang ada di tahun 2013 ini sebaik-baiknya. Bagi  anda yang sudah tiada ibu bapa, bekalkanlah mereka dengan memanjatkan sebanyak doa kepada mereka agar lebih tenang di sana. Akhir kalam untuk entri kali ini ialah satu ingatan kepada diri sendiri dan kamu semua agar janganlah menjadi anak yang derhaka kerana pastinya kita tidak akan  mendapat keberkatan dalam kehidupan yang kita jalani.

Moga kita lebih menghargai masa yang kian berlalu, yang pergi pastinya tak kembali


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.