Cari Blog Ini

Rabu, 16 Mei 2012

Selamat Hari Guru!

Bagi membuka entri untuk minggu ini saya ingin mengucapkan "SELAMAT HARI GURU" dan terima kasih kepada semua guru-guru terutamanya yang telah banyak membantu, memberi pedoman, galakan dan serta menjadikan saya seorang insan pada hari ini samaada ianya secara langsung ataupun tidak langsung. Jasamu memang tidak dapat dibalas oleh saya, hanya Allah S.W.T sahaja yang mampu membalasnya. Secara peribadi saya menganggap anda semua adalah insan yang sangat mulia, moga Allah memberi kesejahteraan, rezeki, kesihatan yang baik dan dipanjangkan umur untuk terus melaksanakan amanah yang telah diberikan ini.

Mengimbau detik zaman persekolahan saya sama ada di peringkat rendah, menengah dan di universiti, saya selalu diingatkan ibu agar menghormati guru. Ibu selalu berpesan akan perkara ini berkali-kali, kata ibu menghormati seorang guru akan memudahkan kita untuk menerima ilmu yang ingin diperolehi, pendek kata ianya akan lebih diberkati. Ibu juga pernah berkata, doa seorang guru  itu selalunya akan makbul dan pastinya akan memberikan kita kejayaan yang lebih. Masih jelas di ingatan saya apabila tiba hari raya Aidilfitri, pekara pertama yang akan disuruh ibu selepas solat hari raya ialah menziarahi rumah guru dahulu terutamanya guru yang mengajar Al-Quran. Kebiasaannya ibu akan menyiapkan kuih raya, sedikit wang dan sehelai dua kain pelikat atau batik untuk diberikan kepada guru. Pesan ibu juga kepada saya agar memohon maaf dan mengucapkan terima kasih kepadanya.

Menyingkap situasi ini, saya melihat amalan dan pekara ini sudah jauh berbeza dengan keadaan hari ini. Mungkin benar bagai dikata, masa sudah berubah dan nilai-nilai ini  mungkin sudah tiada pada golongan masa kini. Sejauh mana kebenarannya ini adalah tidak dapat dipastikan oleh saya atau mungkin anggapan saya ini salah. Sebagai pendidik saya acap kali dapat memperhatikan pekara ini untuk kita renungi bersama. Sebagai contoh yang dapat saya luahkan disini, boleh dikatakan rata -rata pelajar hari ini tanpa segan silu meminta dirinya untuk dibelanja oleh guru samada secara langsung atau tidak langsung. Antara ayat-ayat yang sering diungkapkan " Encik la belanja! kami belum bekerja, duit tak ada", ataupun yang lebih berani " "Encik! belanja saya ya". Situasi ini saya akui kerap di dengari samada kepada saya sendiri atupun kepada pendidik-pendidik yang lain. Terus terang ingin saya katakan disini, semasa saya ketika dahulu, saya tidak pernah mengungkap perkara ini kepada guru saya kerana saya berasa amat malu kepadanya. Saya amat  berbangga dan berpuas hati sekiranya saya dapat membelikannya secawan kopi ataupun teh samada di kantin ataupun di kedai makan. Pada saya, itulah penghormatan yang dapat saya berikan atas penat jerih yang telah  dilaluinya. Walau pekara ini bukanlah dikehendaki mereka tapi pada padangan saya pada ketika itu ialah sebagai tanda ucapan terima kasih yang tidak seberapa, ikhlas dari saya. Apabila saya melihat pada situasi ini dan dibandingkan, ianya adalah sesuatu yang mungkin jauh berbeza. Adakah ini hanya mungkin  anggapan dan perasaan saya? atau mungkin pelajar hari ini lebih terbuka dan permintaan yang diluahkan itu hanyalah satu gurauan semata-mata atau mungkin tindakan yang secara tidak disedari.

Apapun keadaannya sekarang mahupun dahulu,  penulisan saya ini  hanyalah sekadar berkongsi pandangan dan mungkin ianya adalah paparan ringan untuk kita renungi yang mana mungkin kita semua terlepas pandangan dan kurang perihatin. Sebagai pendidik saya hanya ingin melihat dan membantu anda semua berjaya dalam mencari kehidupan yang belum pasti. Memang tidak dapat memuaskan semua hati-hati yang ada tapi apa yang dilakukan adalah sentiasa yang terbaik untuk anda semua.  Sebagai manusia yang penuh dengan kelemahan, saya akui diri ini bukanlah yang terbaik, tetapi apa yang cuba diberikan adalah ikhlas dalam setiap majlis penyampaian ilmu yang ingin diberikan untuk anda semua. Adalah menjadi agenda saya untuk memastikan agar anak bangsa dapat meneruskan legasi melayu yang bakal ditinggalkan. Akhir kata dari saya sempena hari guru ini ialah "jadilah insan yang berjaya dalam apa bidang yang kamu ceburi". Kamulah kebanggaan saya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.