Cari Blog Ini

Khamis, 25 Oktober 2012

Beli Kereta Ikut Kemampuan, Satu Keputusan Bijak!



Adalah menjadi idaman setiap orang untuk memiliki kereta, sama ada ingin memiliki kereta baru mahupun kereta terpakai. Apapun pilihan anda, saya yakin membuat keputusan membeli kereta selalunya menjadi isu penting kepada setiap orang. Ini adalah kerana pembelian kereta adalah merupakan pelaburan kedua terbesar selepas rumah. Lantaran itu,  saya ingin berkongsi dengan anda semua mengenai satu konsep membuat keputusan membeli kereta mengikut perspektif saya yang mungkin dapat dijadikan panduan bersama bagi paparan entri saya kali ini.

Dengan keaadan dunia kewangan hari ini yang kian kompleks, membuat keputusan untuk membeli kereta bukanlah pekara mudah untuk anda terutamanya yang berpendapatan serderhana. Banyak pekara sebenarnya perlu difikirkan dan diambil berat agar aliran tunai bulanan tidak terjejas. Pandangan peribadi saya, membeli kereta baru bukanlah semudah membeli pakaian ataupun kasut di pusat membeli belah, jika ianya tidak berkenan untuk dipakai, ianya boleh disimpan atau diberi kepada orang lain. Pada hemat saya, membeli kereta adalah satu komitmen yang memberi kesan sekurang-kurangnya 4 ataupun 5 tahun ataupun lebih kepada seseorang individu. Ini adalah kerana menukar kereta bukanlah pekara mudah yang dapat dilakukan sesuka hati.  Bagi golongan yang berpendapatan tinggi isu ini bukanlah perkara penting, tetapi pada golongan sederhana kesannya amat besar. Maksud saya, janganlah apabila anda sudah membeli  kemudian menyesal pula. Oleh yang demikian,  buatlah perancangan yang baik dan beli kereta mengikut kemampuan anda.

Terdapat berbagai panduan dan tips yang berguna hari ini yang boleh diperolehi dari pelbagai media contohnya seperti laman sesawang, blog, suratkhabar dan lain-lain lagi yang dapat digunakan sebagai pedoman untuk membuat keputusan. Walaubagaimanapun, secara peribadi saya berpendapat,"konsep mampu” adalah asas penting yang perlu ada di kotak pemikiran anda untuk mengelakkan kesilapan dalam membuat  keputusan kewangan khususnya dalam pembelian kereta. Konsep mampu yang saya maksudkan ini dapat dilihat melalui tiga perspektif iaitu mampu milik, mampu bayar dan mampu selengara.  Berikut sedikit penerangan yang dapat dikongsikan dengan anda mengenai konsep 3M yang saya maksudkan.

Mampu Milik
Untuk membuat keputusan membeli kenderaan tanyalah diri sendiri adakah anda mampu untuk memiliki kenderaan tersebut. Lihat harga yang di tawarkan kepada anda dan bandingkan dengan keupayaan kewangan anda. Keupayaan kewangan ini bermaksud kebolehan mengeluarkan deposit untuk kenderaan tersebut. Jika keupayaan ini anda miliki tanpa menjelaskan aliran bulanan dan simpanan anda maka anda mampu miliki kenderaan tersebut.


Mampu Bayar
Jika anda sudah mampu miliki kenderaan idaman anda itu, pekara seterusnya yang perlu dipersoalkan adalah adakah anda mampu bayar? Mampu bayar ini bermaksud bayaran ansuran bulanan yang dikenakan keatas pinjaman kenderaan yang anda ingin miliki itu. Jika anda mampu untuk membayar ansuran bulanan ini tanpa memberi kesan kepada perbelanjaan bulanan yang lain, maka anda mampu untuk memiliki kenderaan tersebut. Jika kiraan anda menjejaskan perbelanjaan bulanan yang lain, anda  hanya sekadar mampu untuk memiliki kenderaan tersebut tetapi tidak mampu untuk menanggung ansuran bulanan kerana ianya akan  menjejaskan aliran tunai dan kelak memberi kesan yang membebankan anda di kemudian hari. Maka eloklah difikirkan kenderaan lain yang dapat memenuhi kedua-dua konsep ini sebelum membelinya.

Mampu Selengara 
Jika anda mampu milik dan mampu bayar ansurannya, persoalan yang perlu difikirkan seterusnya adalah adakah anda mampu untuk menyelengaranya? memiliki kenderaan idaman dan mampu untuk membayar ansuran bulanan tetapi tidak mampu untuk menyelengara adalah satu keputusan membeli kenderaan yang kurang bijak. kebiasaaanya kenderaan perlu diselengara pada tempoh-tempoh yang tertentu. Contohnya seperti bayaran cukai jalan, servis kenderaan, penukaran tayar kenderaan dan sebagainya. Setiap kenderaan mempunyai kos yang berbeza-beza untuk diselengara dan sudah pastinya akan menjejaskan aliran tunai. Membeli kenderaan adalah secara tidak langsung menyebabkan kita perlu untuk menyelengaranya. Persoalannya adakah anda mampu untuk menanggung kos menyelenggara kenderaan yang ingin dipilih tadi. Sekiranya jawapannya anda mampu, belilah kenderaan tersebut.


Adalah menjadi satu dilema bagi setiap pembeli apabila ingin membuat pilihan menbeli kenderaan. Ini adalah kerana terdapat pelbagai model kenderaan, harga yang berbeza dan kelebihan pada setiap kenderaan di pasaran pada hari ini yang pastinya akan membuatkan kita berbelah bahagi. Lantaran itu, membuat keputusan yang bijak apabila membeli kenderaan adalah sangat penting, nasihat peribadi saya kepada anda semua, belilah dengan mengikut kemampuan anda. Saya percaya ramai di antara anda semua akan tamat pengajian dan seterusnya akan bekerja. Memiliki kenderaan sudah pastinya akan menjadi keutamaan, maka saya berharap mungkin sedikit perkongsian ini dapat membantu anda semua untuk menguruskan kewangan anda kelak dengan lebih baik. Mengikut rekod dan kajian, terdapat ramai graduan-graduan yang gagal menguruskan kewangan mereka apabila mula masuk ke alam pekerjaan dan salah satu faktornya adalah disebabkan pinjaman kenderaan , maka ingatlah anda semua sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Buatlah keputusan yang bijak!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.